Pada Julai 2023, YAB Perdana Menteri melancarkan Rangka Kerja Ekonomi MADANI, yang berfungsi sebagai asas dan prinsip panduan untuk rancangan ekonomi dan pembangunan negara kita. Rangka kerja itu menggariskan nilai dan sasaran peringkat tinggi untuk Malaysia menjadi negara Asia yang terkemuka dalam pembangunan ekonomi yang berperikemanusiaan—mencapai pertumbuhan yang menegakkan prinsip kemanusiaan dan keadilan sosial.
Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 atau PuTERA35, yang dilancarkan lebih setahun selepas Ekonomi MADANI, dibangunkan selaras dengan rangka kerja ekonomi dan Rancangan Malaysia Ke-12 dengan input daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk sektor swasta, GLC, GLIC, pemain industri, masyarakat sivil, dan pemimpin masyarakat. Pelan transformasi 10 tahun itu bertujuan menangani jurang perbezaan ekonomi antara masyarakat Bumiputera, termasuk Orang Asli dan masyarakat peribumi Sabah dan Sarawak, serta komuniti bukan Bumiputera.
PuTERA35 menekankan kerjasama tulen merentasi etnik dan berusaha untuk memastikan semua kumpulan etnik mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi negara. Untuk menangani jurang ekonomi dengan berkesan dan untuk menyokong pembaharuan struktur ekonomi yang sedang giat dilaksanakan, sektor dan industri baharu yang menawarkan nilai tambah tinggi, termasuk Pertumbuhan Tinggi Nilai Tinggi (HGHV) dan industri berimpak tinggi, telah dikenal pasti untuk memacu ekonomi Malaysia.