Jenama Kami

Ikon jenama TERAJU diinspirasikan oleh Teraju Tiga, sebuah komponen fizikal yang penting dalam struktur utama Wau Bulan.

Wau Bulan merupakan khazanah ikonik Malaysia yang terkenal dengan reka bentuk aerodinamik yang unggul. Terletak di bahagian atas Wau Bulan dalam bentuk anak panah di puncaknya, Teraju Tiga berfungsi sebagai komponen yang mengawal penerbangan, membolehkan wau melawan rintangan angin, mencipta ruang dan menstabilkan penerbangan yang lebih tinggi. Walaupun reka bentuknya adalah kecil, Teraju Tiga memainkan peranan penting dalam fungsi Wau Bulan. Ini mencerminkan falsafah TERAJU dalam memacu agenda Bumiputera. Teraju Tiga pada Wau Bulan bukan sekadar komponen teknikal; ia membawa maksud yang mendalam dalam konteks TERAJU.
Sama seperti Wau Bulan yang memerlukan Teraju Tiga untuk terbang tinggi dan stabil, TERAJU berfungsi sebagai “Super Scaler,” yang memastikan Bumiputera dapat mencapai kemuncak kecemerlangan ekonomi dengan kestabilan yang teguh. Dalam memacu agenda utama Bumiputera, TERAJU menjalankan pelbagai inisiatif strategik bagi mewujudkan peluang kepada usahawan Bumiputera berkembang ke peringkat lebih tinggi dan berdaya saing di persada global.
Teraju Tiga membolehkan pemain mengawal arah dan ketinggian Wau Bulan.

Begitu juga TERAJU yang bertanggungjawab mengawal dan mengkoordinasi pelbagai inisiatif di samping bertindak sebagai pemudah cara dalam pembangunan ekonomi Bumiputera. Seperti keindahan Wau Bulan menghiasi langit, TERAJU terus memartabatkan aspirasi masyarakat Bumiputera di Malaysia. Dengan setiap inisiatif yang dilancarkan, TERAJU menjalin impian dan harapan untuk masa depan ekonomi Bumiputera yang lebih cerah dan sejahtera. Teraju Tiga, yang memberi inspirasi kepada ikon TERAJU, bukan sahaja mencerminkan keseimbangan, kawalan, dan perpaduan tetapi juga memainkan peranan dalam memacu aspek kesejahteraan dan kelestarian bagi mewujudkan persekitaran yang selesa dan dinamik, mengangkat martabat Bumiputera ke tahap yang lebih tinggi.